China Minta Kepada Rakyatnya Yang Di Singapura Jauhi Perjuadian

China Minta Kepada Rakyatnya Yang Di Singapura Jauhi Perjuadian

Sagliknotu.com – Kedutaan China di Singapura menggesa rakyatnya untuk ‘menjauhkan diri’ daripada perjudian kerana perjudian rentas sempadan melanggar undang-undang China.

Amaran itu selaras dengan usaha Beijing bagi meningkatkan pembanterasan kegiatan judi dalam kalangan warga China, terutama di Asia Tenggara yang kini menjadi destinasi pelancongan popular.

“Kedutaan bersungguh-sungguh mengingatkan majoriti warga China di Singapura untuk meningkatkan kesedaran undang-undang dan menjauhi perjudian.

“Walaupun kasino luar negara dibuka secara sah, perjudian rentas sempadan oleh warga China adalah melanggar undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan yang turut mengingatkan perjudian dilarang sama sekali oleh undang-undang di China.

Tambahnya, kedutaan dan konsulat mungkin tidak dapat menyediakan perlindungan konsular sekiranya berlaku sebarang jenayah berkaitan perjudian.

Singapura kini memiliki dua kasino, satu dikendalikan oleh Las Vegas Sands dan satu lagi oleh Genting Singapore.

China mempergiatkan tindakan keras terhadap perjudian rentas sempadan, luar pesisir dan dalam talian dengan menghantar amaran kepada beberapa negara dalam cubaan membendung aktiviti haram itu dan selain mengeluarkan amaran kepada rakyatnya di luar negara.

“Perjudian rentas sempadan juga mungkin membawa risiko seperti penipuan, pengubahan wang haram, penculikan, penahanan, pemerdagangan manusia dan penyeludupan,” katanya.

Kedutaan China di Korea Selatan dan Sri Lanka turut mengeluarkan amaran sama baru-baru ini.

Pada 22 Februari lalu, agensi penguatkuasaan undang-undang di China dan Filipina bekerjasama menghantar pulang lebih 40 warga China yang terbabit dalam perjudian luar pesisir, menurut kenyataan kedutaan China di Filipina.

“Kerajaan sentiasa menentang sebarang bentuk perjudian dan menentang rakyatnya meninggalkan negara ini untuk terbabit dalam industri perjudian, katanya.

Di samping itu, Menteri Keselamatan Awam China dan Vietnam meningkatkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang dan menandatangani memorandum persefahaman bagi bekerjasama untuk memerangi perjudian rentas sempadan.

Kedutaan China di Singapura berkata Kementerian Keselamatan Awam China membuka platform laporan untuk memerangi perjudian rentas sempadan dan dalam talian, di mana warga China boleh menyampaikan maklumat mengenai aktiviti yang disyaki.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Berita Dunia