Sagliknotu.com – Tentera Israel menembak mati enam rakyat Palestina serta mencederakan puluhan lagi ketika penduduk menunggu trak bantuan kemanusiaan di Gaza City, menurut pegawai Kementerian Kesihatan di semenanjung itu, hari ini.
Pasukan itu melepaskan tembakan ketika rakyat Palestina terdesak mendapatkan bekalan bantuan di Bulatan Kuwait, utara Gaza City, lewat petang semalam, dakwa pegawai kesihatan dan penduduk.
Setakat ini, pihak tentera Israel tidak memberi respons terhadap permintaan untuk komen berhubung insiden berkenaan.
Pada 29 Februari lalu, pihak berkuasa kesihatan Palestina melaporkan, tentera Israel menembak mati lebih 100 rakyat Palestina yang sedang menunggu penghantaran bantuan kemanusiaan berhampiran Gaza City.
Rejim Zionis bagaimanapun menuding jari menyalahkan rakyat Palestina mengerumuni trak bantuan terbabit sehingga mangsa dilanggar atau dipijak.
Sementara itu di kem Al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza, pegawai kesihatan Palestina melaporkan lapan mangsa terkorban dalam serangan udara yang dilancarkan Israel ke atas sebuah pusat pengagihan bantuan, hari ini.
Di Deir Al-Balah di tengah Gaza pula, peluru berpandu Israel mengena sebuah rumah menyebabkan sembilan orang maut, menurut petugas perubatan Palestina.
Selain itu, penduduk memaklumkan, Israel meneruskan serangan udara dan darat sepanjang malam ke atas Semenanjung Gaza, termasuk Rafah yang menjadi lokasi lebih sejuta penduduk berlindung ketika ini.
Hari ini, Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan, serangan tentera Israel ke atas keseluruhan Semenanjung Gaza meragut sekurang-kurang 69 nyawa serta mencederakan 110 lagi rakyat Palestina dalam tempoh 24 jam lalu. Link